klik ....2...

SELAMAT DATANG
 online

*dimana hendak diperolihi teman sejati

ANTARA kemanisan hidup ini apabila seseorang memiliki sahabat yang setia tanpa sebarang kepentingan. Namun hal yang seperti ini amat sukar untuk diperoleh di dunia ini, sekalipun ramai yang selalu mendakwa dia adalah sahabat setia kita. Kita tidak tahu sejauh manakah dakwaan itu sebelum adanya ujian yang sebenar.

Ramai yang pernah mendakwa sedemikian tetapi terbukti berbohong apabila ujian datang melanda. Bahkan banyak persahabatan dalam dunia ini pun terjadi di atas kepentingan tertentu. Maka tidak hairan jika ia akan berakhir disebabkan kepentingan tertentu jua. Bahkan ada persahabatan yang diasaskan di atas kejujuran namun berakhir disebabkan kepentingan.

Memiliki persahabatan yang jujur dalam erti kata sebenar adalah nikmat kehidupan. Namun ia sebenarnya sukar diperoleh secara meluas di alam maya ini melainkan dalam sejarah kehidupan golongan yang beriman dalam makna yang sebenar. Bahkan baginda Nabi s.a.w. menjamin bahawa sesiapa yang mempunyai sahabat tanpa kepentingan melainkan kerana Allah semata, maka dia akan mengecapi kemanisan iman. Sabda baginda:

Tiga perkara sesiapa yang ada padanya maka dia mendapati kemanisan iman. (pertama) Hendaklah Allah dan rasul-Nya lebih dicintai mengatasi selain keduanya. (kedua) Hendaklah dia mencintai seseorang, tidak dia cintainya kecuali kerana Allah. (ketiga) Hendaklah dia benci untuk kembali kepada kekufuran seperti mana dia benci untuk dicampakkan ke dalam neraka (riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Manisnya tebu tidak dapat digambarkan oleh perkataan buat sesiapa yang tidak pernah merasanya. Manisnya iman, hanya pemiliknya dapat mengecapi kenikmatan dan kekhusyukannya. Dalam tiga ciri tersebut, baginda s.a.w. menyatakan bahawa dengan mencintai seseorang hanya kerana Allah, akan terasalah manisnya iman. Indahnya kemanisan iman hanya pemiliknya yang faham. Bagaimana mungkin kita dapat membina rasa cinta kepada seseorang kerana Allah semata?

Pastilah dek kita tahu hubungan dan kasih sayang kita kepadanya mendapat keredaan Allah. Mungkin kerana dia orang yang dekat kepada Allah, atau dia boleh menjadi faktor kita dapat mendekatkan diri kepada Allah. Apabila perasaan yang seperti itu terbina, kita akan dapat berasa nikmatnya perasaan cintakan seseorang kerana Allah. Hanya hubungan yang seperti itulah yang membuahkan kesetiaan dan kejujuran yang tidak mampu dibeli oleh pangkat, kedudukan dan harta.
Post a Comment