Sayangilah Buah pinggang anda .....

Buah pinggang adalah satu organ berbentuk seperti kacang yang terletak di salah satu sisi belakang sebelah bawah, betul-betul di bawah tulang rusuk. Fungsi buah pinggang di dalam badan adalah untuk mengeluarkan bahan buangan daripada darah dan juga mengawal jumlah cecair di dalam badan.

Apabila buah pinggang anda mempunyai terlalu banyak toksin, penyakit buah pinggang dan pundi kencing boleh berlaku kerana anda tidak mampu untuk mengeluarkan bahan buangan dan juga urin dari badan anda. Mereka yang paling berisiko mempunyai penyakit buah pinggang kronik ialah mereka yang mempunyai penyakit kencing manis, tekanan darah tinggi atau sejarah keluarga yang pernah mempunyai penyakit buah pinggang. Berbanding perempuan, lelaki biasanya lebih berisiko mempunyai penyakit buah pinggang. Namun ini tidak bermakna yang kaum perempuan boleh mengabaikan penjagaan buah pinggang yang betul. Di bawah ini adalah tanda-tanda dan gejala menunjukkan buah pinggang anda mungkin bermasalah:

» Perlu lebih kerap membuang air kencing atau bermasalah untuk mengawal pembuangan air kencing.

» Rasa sakit di bahagian bawah belakang.

» Rasa sakit atau rasa seperti terbakar ketika membuang air kencing.

» Edema (bengkak air) di dalam paru-paru, kaki, abdomen dan lain-lain.

» Bengkak di seluruh muka, mata, kaki, dan buku lali.

» Darah di dalam air kencing

» Protin di dalam air kencing

Sekiranya buah pinggang anda berfungsi secara normal, ia tidak memerlukan penjagaan yang khusus. Diet yang seimbang dan sihat serta pengambilan air yang cukup sudah memadai untuk menjaga buah pinggang anda terus kekal sihat. Walaubagaimanapun, sekiranya anda menyedari yang anda mempunyai tanda-tanda di atas, maka anda perlu menggunakan tip di bawah untuk menjaga buah pinggang anda dengan baik:

Perhatikan tekanan darah dan gula darah anda. Ini kerana dua punca utama penyakit buah pinggang ialah disebabkan penyakit kencing manis dan tekanan darah tinggi. Dari semasa ke semasa, jumlah glukosa yang berlebihan di dalam darah akan merosakkan berjuta-juta unit penapisan kecil di dalam setiap buah pinggang. Kira-kira 20 hingga 30 peratus pesakit kencing manis akan mempunyai penyakit buah pinggang(nefropati diabetis) dan jumlah ini akan terus meningkat dengan meningkatnya pesakit kencing manis. Tekanan darah tinggi pula boleh merosakkan saluran darah kecil yang terdapat di dalam buah pinggang. Saluran-saluran darah yang telah rosak tidak dapat menapis bahan buangan daripada darah seperti yang sepatutnya. Yang paling utama untuk menjaga kesihatan buah pinggang ialah dengan memastikan tekanan darah dan juga gula darah berada pada tahap sehampir normal yang mungkin.

Amalkan pemakanan yang seimbang. Kunci kepada diet buah pinggang yang sihat ialah dengan meningkatkan pengambilan makanan yang berasaskan tumbuhan di samping mengurangkan pengambilan makanan yang ditapis dan berminyak(goreng). Diet berasaskan tumbuh-tumbuhan dan buah-buahan akan membolehkan sistem badan dineutralkan melalui buah pinggang, dapat menurunkan tekanan darah dan akan menyumbang kepada kesihatan yang baik. Sederhanakan pengambilan kacang tanah, germa gandum, bayam, kacang soya, coklat dan keledek kerana makanan begini kaya dengan kandungan oxalate yang boleh menyebabkan batu karang.

Kurangkan juga pengambilan daging. Diet yang mengandungi tinggi protin haiwan akan mempengaruhi pembentukan batu kalsium. Daging menghasilkan asid urik selepas ia diproses oleh badan. Urik asid merupakan masalah asas dalam pembentukan batu asid urik dan juga penyakit gout.

Minum air. Satu lagi aspek utama untuk kesihatan buah pinggang ialah pengambilan air yang mencukupi. Air membantu buah pinggang anda untuk mengepam keluar toksin dan menghalang kejadian batu karang dan jangkitan. Jangan meminum air dalam jumlah yang banyak sekaligus, yang sebaiknya ialah minum air dalam jumlah yang sedikit sepanjang hari.

Elakkan dari tabiat merokok. Jika anda  seorang perokok, anda mesti cuba sedaya upaya dari sekarang untuk berhenti dari tabiat tersebut. Merokok bukan sahaja akan meningkatkan risiko penyakit buah pinggang, tetapi ia juga menyumbang kepada kematian akibat strok dan serangan jantung pada mereka yang mempunyai penyakit buah pinggang kronik.

Kurangkan kafein. Kafein akan bertindak sebagai deuritik yang akan menyebabkan badan kehilangan cecair berlebihan. Akibat dari proses ternyahidrat, buah pinggang anda terpaksa bekerja keras untuk mengepam cecair dan toksin yang akan mengakibatkan tekanan yang berlebihan.

Hidup dengan lebih aktif. Senaman fizikal merupakan elemen yang penting untuk penjagaan kesihatan buah pinggang yang optimum.Sentiasa aktif adalah baik untuk kesihatan buah pinggang dan juga untuk kesihatan anda secara menyeluruh. Walaubagaimanapun, sekiranya anda sudah mempunyai masalah buah pinggang, elakkan dari melakukan aktiviti senaman yang lasak dan berat. Melakukan aktiviti seperti berjalan laju, berjogging atau berkebun sangat baik untuk merangsang metabolisme anda.

Oleh itu, berikanlah yang terbaik untuk kesihatan buah pinggang anda dengan mengikuti saranan tip penjagaan kesihatan buah pinggang di atas. Walaupun tip ini terutamanya adalah untuk  yang ingin menjaga buah pinggang mereka, ia juga boleh memberikan manfaat kepada sesiapa yang mementingkan kehidupan yang sihat.

Sumber artikel: http://goo.gl/IvQM6

No comments: