Arnab . pembiakkan








.       Anak Arnab yang baru lahir..


      Setelah tiga minggu...

Arnab mempunyai kadar pembiakan yang besar sekali. Musim membiak bagi kebanyakan arnab adalah 9 bulan, dari Februari hingga Oktober. Di Australia & New Zealand, musim membiak adalah dari akhir Julai hingga akhir Januari. Tempoh kebuntingan biasanya adalah 30 hari, ataupun lebih lama lagi bagi arnab dalam genus Lepus. Arnab biasanya boleh melahirkan 4 hingga 12 ekor anak, tetapi baka yang lebih besar mampu melahirkan banyak lagi arnab. Seekor anak arnab boleh bercerai susu sebaik mencecah umur 4 hingga 5 minggu. Ertinya, dalam satu musim, seekor ibu arnab boleh melahirkan sebanyak 800 anak, cucu dan cicit. Arnab betina sedia membiak pada usia sekitar enam bulan, dan arnab jantan pula sekitar tujuh bulan. Arnab mengambil masa yang sangat singkat untuk pikat-memikat dan mengawan, iaitu selama 30 hingga 40 saat. Kelakuan arnab ketika pikat-memikat melibatkan jilat-menjilat, hidu-menghidu, dan si jantan mengejar si betina. Arnab juga sering menyembur kencing sebagai kelakuan seksual. Arnab betina mungkin keguguran bulu bergumpal-gumpal sewaktu tempoh hamil.

Proses penghasilan ovum bermula 10 jam selepas mengawan. Selepas mengawan, arnab betina membuat dan mengalas sarangnya dengan bulu dari gelambir, rusuk dan perutnya. Kelakuan ini juga mendedahkan puting arnab betina untuk membolehkannya menetek anak-anaknya. Dalam kebanyakan spesies, anak arnab lahir buta, dogel, dan tidak berupaya (kecuali spesies-spesies dalam genus Lepus dan Sylvilagus yang anaknya sudah berbulu, boleh membuka mata dan mampu menjaga diri sebaik sahaja dilahirkan). Keimunan pasif (keimunan yang diperoleh melalui pemindahan antibodi atau limfosit peka daripada haiwan lain) diperoleh oleh anak arnab sebelum lahir melalui pemindahan plasenta. 10 atau 11 hari selepas lahir, anak arnab boleh membuka mata, kemudian ia boleh makan sendiri sekitar usia 14 hari.

Walaupun dogel ketika lahir, namun bulu anak arnab mula tumbuh dalam masa beberapa hari sahaja. Pada umur 5 hingga 6 minggu, bulu anak arnab yang lembut ini diganti dengan bulu pra-dewasa. Sekitar umur 6 hingga 8 bulan, bulu pertengahan ini diganti pula dengan bulu dewasa sepenuhnya, selepas itu arnab bersalin bulu dua kali setahun. Oleh sebab susu arnab sangat berkhasiat, anak arnab hanya perlu ditetek selama beberapa minit, sekali atau dua kali sehari.

Jangka hayat arnab adalah kira-kira 9–12 tahun; arnab yang paling panjang usia di dunia mencapai 18 tahun.

No comments: